Tuesday, May 03, 2005

Rahsia Khusyuk Di Dalam Solat

Ramai umat Islam yang menunaikan sembahyang pada hari ini. Tetapi adakah cukup solat itu sekadar sempurna rukun dan syaratnya tanpa hadirnya rasa khusyuk? Di bawah ini terdapat beberapa tips untuk khusyuk di dalam solat yang diringkaskan dari buku “ Khusyuk Dalam Solat ‘’ terbitan oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd.

1) Hayati makna ayat bagi mencapai khusyuk.
- Diringkaskan kepada enam perkara. Yang pertama ialah ‘hudhur al-qalbi’ ( hadir hati ). Yang dimaksudkan hudhur al-qalbi di sini adalah berusaha membuang segala sesuatu yang tidak ada kena-mengena dengan solat, dan juga membuang segala perkara yang tidak ada hubungan dengan Allah SWT yang dihadapkan segala bacaan dan ucapan. Yang keduanya ialah ‘at-tafahum’ yang bererti melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat itu samada perbuatan dan juga segala yang diucapkan. Contohnya, memahami makna atau maksud ayat-ayat di dalam surah Al-Fatihah. Yang ketiganya pula ialah at-ta’dzim iatu merasa keagungan Allah SWT. Apabila seseorang itu memulakan solatnya dengan menyebut Allahu Akbar, mereka merasa dirinya terlalu kerdil di hadapan Allah SWT dan ingatanya terhadap Allah terlalu agung. Seterusnya ialah ‘ar-rajaa’ iatu sentiasa menaruh harapan besar, mudah-mudahan segala ibadah solat yang dilakukan itu diterima Allah dan mendapat ganjaran pahala dari-Nya. Yang terakhir ialah ‘al-hayaa’ iatu merasa malu terhadap Allah SWT di atas segala kekurangan dan kecacatan di dalam ibadahnya, sekadar mana yang terdaya dilakukan namun dipersembahkan juga ibadah tersebut ke hadrat Allah.

2) Merasakan rendah dan menghina diri serta membebaskan diri daripada menunjukkan besar diri dan sombong ketika qiyam ( berdiri ) di dalam solat.

3) Jangan lalai ketika Takbiratul Ihram iatu menyebut kalimah Allahu Akbar yang bererti Allah Maha Besar, ketika menyebut lafaz ini janganlah hati menyimpang ke lain.

4) Melahirkan semangat ( himmah ) atau kemahuan untuk melakukan solat dengan khusyuk dan merasakan solat itu amat mustahak di dalam hidup anda.

5) Merasa gerun atau hebat terhadap Allah SWT .
Rasa gerun ini hanya dapat dicapai dengan makrifat yang mendalam terhadap Allah SWT sebagai Khaliq dan makrifat yang terdapat pada diri anda sendiri sebagai hamba.

6) Mengharap akan limpah rahmat dari Allah SWT yang Maha Latif itu dengan segala kemurahan-Nya memberikan ganjaran yang lebih. Oleh itu, rasa penuh pengharapan dan pergantungan anda hanya terhadap Allah.

7) Elakkan gangguan solat dengan membatasi pandangan.
Imam Al-Ghazali telah menggariskan beberapa kaedah luaran bagi merawat hati supaya tidak dihinggapi penyakit lalai. Antaranya ialah dengan memejamkan mata ketika solat. Memejamkan mata dengan maksud menghindari dari memandang sesuatu yang tidak baik itu sepatutnya dilakukan sejak sebelum mendirikan solat. Jangan guna hamparan atau sejadah yang berwarna-warni sekiranya ia menganggu kekyusukan solat anda.

8) Berdiri solat bagai berdiri di Padang Mahsyar.
Bayangkan seolah-olah yang hendak ditunaikan adalah solat yang terakhir dan bayangkan juga dalam ingatanya bahawa seolah-olah ia sedang berdiri di Padang Mahsyar. Bayangkan juga bagaimana keadaan genting di sana yang mana merupakan penentuan yang abadi samada ke Syurga atau Neraka.

9) Pusatkan hati ke arah objek yang dikehendaki.
Sewajarnya orang yang mendirikan solat itu hatinya akan merasa tenang, kerana solat itu bukan sekadar menyebut-nyebut nama Allah malah ia merupakan dialog terus anatara hamba dan Khaliq. Oleh itu, anda perlu memusatkan hati dan ingatan kepada matlamat yang dituju di dalam solat iatu khusyuk contohnya membayangkan seolah-olah anda berada di padang mahsyar.

10) Merasakan bahawa laungan azan itu bagaikan tiupan sangkakala yang ditiup oleh malaikat Israfil. Tiupan yang mengejutkan seluruh manusia yang Allah bangkitkan dari dalam kuburnya bagi satu babak yang sangat dahsyat iatu menandakan bermulanya hari kiamat.

11) Menghadap Tuhan sebagai seoarang pesalah.
Ia bermaksud bahawa datang menemui tuhan dengan kesedaran sebagai seorang yang banyak melakukan kesalahan agar memperlihatkan keinsafan yang sebenar sebagai seorang hamba.

12) Membaca ayat Allah bersama hati.
Adapun qiam dalam solat ialah untuk mengekalkan hati bersama Allah SWT, wajib bagi seorang hamba sentiasa mengingat atau hadir hati terhadap Tuhan. Sesungguhnya Allah SWT memberikan perhatian kepada orang yang memperingati-Nya .

13) Dorong hati untuk mendekati khusyuk.
Perlu diingat sekiranya hati anda berpaling kepada selain daripada Allah , maka cepat-cepat anda beringat bahawa Allah mengetahui kedudukan hati itu. Sesungguhya amat bodoh orang yang bermunajat kepada Allah sedangkan hatinya lalai.

14) Merasai keajaiban sujud terakhir.
Setiap kali anda ruku’ dan sujud, sentiasalah memperbahrui ingatan kepada Allah. Ketika anda tunduk meletakan dahi ketika sujud, hendaklah merasakan bahawa anda sedang merendah diri atau menghina diri kepada suatu Zat Allah yang Maha Agung dan pada masa yang sama anda merasakan diri anda amat kecil dan terlalu kerdil di hadapan Allah Taala.

15) Bagaikan bersama-sama Nabi ketika tasyahhud.
Maksudnya ialah di dalam ucapan tasyahhud terdapat ucapan ‘ selamat sejateralah ke atasmu wahai nabi, dan apabila ucapan ini menggunakan perkataan ‘mu’ atau ‘kamu’ seolah-olah seseorang itu sedang berdepan dengan nabi s.a.w walaupun nabi sudah wafat dan tidak ada di hadapan orang yang solat itu. Oleh itu, hadirkan di dalam hati seolah-olah bahawa Rasullalah ada bersamanya.

16) Ingatlah, Allah bangga dengan solat yang didirikan oleh hamba-Nya. Sesungguhnya para malaikat turut mendirikan solat bersama dengan solat yang didirikan oleh seseorang.

17) Ingatlah juga bahawa mengenai bahaya solat tanpa khusyuk. Di dalam surah al-Ma’un ayat yang keempat dan kelima, Allah SWT telah mencadangkan bahawa neraka tersebut diperuntukkan bagi orang-orang yang mengerjakan solat, tetapi solat mereka itu dalam keadaan yang lalai dan lupa. ( Maksud lalai di sini banyak tafsiranya )

Konklusinya di sini, suka saya memetik kata Imam Al-ghazali. Beliau mengatakan bahawa “orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain mengingati Allah SWT ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan munkar”. Ini bermakna, sekiranya anda masih melakukan perkara munkar dan keji di alam fana ini, sedangkan anda tidak meninggalkan solat, maka checklah solat anda. Bagi saya juga, sekiranya anda berjaya mengamalkan dan menguasai salah satu tip-tip di atas, ia sudah bermakna dan percayalah anda sudah menghampiri kepada kekusyukan di dalam solat. Selamat mencuba dan jangan berputus asa.

No comments: